Sejarah awal Pertubuhan Pribumi Perkasa

Tahun 1988, Tan Sri Datuk Mohamed bin Rahmat, bekas menteri penerangan pernah memberi maklumat bahawa sebuah parti baru 'Perkasa' akan didaftarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan penyokong-penyokongnya. Tok Mat telah melawat ke kilang percetakan Utusan di Utusan Printcorp di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin. Pemimpin UMNO Team B mahu melancarkan parti baru beberapa bulan selepas Umno diharamkan. Perkara itu menjadi berita utama surat khabar Utusan Malaysia. Ekoran itu, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ibrahim Ali menuntut Utusan dan pengarangnya Rozaid Abdul Rahman memohon maaf dan menarik balik berita tersebut. Peguam bela kes itu ialah Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar.[1]

Permit akhbar

Pada 3 Mac 2010, Perkasa menerima surat kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri - 'Suara Perkasa'. Akhbar itu dikeluarkan setiap dua minggu.[2]

Mesyuarat Agung pertama

Pada 27 Mac 2010, Mesyuarat Agung pertama Perkasa diadakan di PWTC, Kuala Lumpur. Bagaimanapun Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat merasmikan mesyuarat ini kerana bimbang disalah anggap dan dimanipulasikan. Alternatifnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir merasmikannya. 8,000 ahli dan 2,000 orang tetamu akan hadir.[3] Antara tokoh UMNO yang hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, Mukhriz Mahathir dan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Seramai 4000 penyokong Perkasa berbaju Melayu hadir di Dewan Pusat Dagangan Dunia Putra. Replika keris besar didirikan di tengah pentas. Ibrahim Ali dengan penuh semangat menjulang dan mengucup keris untuk mempertahankan nasib Melayu.

Perkasa mendakwa memperjuangkan institusi raja, hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Sultan menyeru Perkasa jangan terlalu ekstrem, terlalu perkauman dan hendaklah sanggup bersuara melalui saluran undang-undang sedia ada. [4]

Ibrahim Ali berkata bahawa negara Yugoslavia berpecah kerana konflik rakyat pelbagai kaum dan sosiobudaya. Perkasa membidas kerajaan yang kelihatan memberi perlindungan besar kepada pemodal bukan Melayu dan [pada masa sama menarik bantuan dan subsidi kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Menurut PERKASA, Kerajaan Malaysia pimpinan Najib dilihat mengamalkan dasar pasaran terbuka yang dikhuatiri akan menjejaskan persaingan di kalangan golongan itu. Mereka khuatir bahawa bantuan kepada golongan majoriti dinafikan sementara golongan pemodal kaum minoriti dilindungi.

Pasaran bebas ditentang PERKASA kerana semua modal berada di kalangan syarikat besar yang "gagah" dan "dominan". Pasaran bebas dilihat akan membahayakan orang Melayu malah golongan yang tidak berada akan tertindas.

Dalam ucapannya, Ibrahim Ali merujuk kepada buku 'World On Fire' oleh Prof Amy Chua, seorang profesor Cina di Universiti Yale, Amerika Syarikat. Orang Filipina membakar kedai Cina di Filipina. Orang Indonesia turut bertindak terhadap peniaga Cina di Indonesia. Demikian juga orang Afrika Selatan membakar kedai orang India di Afrika Selatan.[5]

Kekayaan Malaysia dikuasai 60 % lebih oleh golongan Cina manakala Bumiputera masih lagi ketinggalan jauh, tak sampai pun 20 %, malah makin merosot. Model Ekonomi Baru mestilah memastikan ketidakseimbangan agihan kek ekonomi ini. Pada 9 Februari 2010, The New Straits Times melaporkan Dewan Perniagaan Cina Malaysia telah menganjurkan Seminar Model Ekonomi Baru.Seminar itu merumuskan bahawa kerajaan kena mengenepikan segala bentuk pertolongan dan mengenepikan apa jua bentuk subsidi.

Perkasa menentang perjuangan DAP yang berteraskan 'Malaysian Malaysia' yang menuntut hak sama rata antara orang Melayu dengan bukan Melayu. Perkasa menuduh DAP bermatlamat untuk merampas hak keistimewaan orang Melayu dan menghapuskan raja-raja Melayu serta bertujuan menimbulkan kacau-bilau, memecahkan perpaduan antara bangsa di Malaysia.

Dua persatuan guru-guru sekolah Cina bergabung menjadi satu dan membuat pelbagai tuntutan yang mengguris hati orang Melayu. Perbuatan mereka itu tidak dianggap pula sebagai rasis, tetapi disokong oleh masyarakat Cina dan akhbar-akhbar Cina. Timbul juga isu keengganan pihak pengurusan sekolah aliran Cina menerima guru bukan Cina menyebabkan berlaku kekurangan tenaga pengajar di sekolah-sekolah tersebut.[6]

Pergerakan Pemuda UMNO pula dibidas kerana dilihat tidak lagi bermaya memperjuangkan nasib Melayu.[7]

Kesan kata-kata ini, Ibrahim Ali telah dituduh sebagai seorang yang rasis serta tidak menyokong konsep 1Malaysia.